Assalamualaikum...hai apa kabar semua..Alhamdulillah, masih ada rezeki saya untuk menulis lagi di blog ini. Beberapa minggu yang lepas laptop saya ni tak boleh nak switch on. Saya sangat sedih kerana tiba-tiba laptop saya bermasalah. Rupa-rupanya sambungan wayar bateri yang rosak. Nasib baiklah ada bateri lama yang masih boleh digunakan.Hampir seminggu lebih juga saya abaikan laptop saya kerana sibuk dengan urusan persekolahan anak-anak saya pada tahun baru 2020 nanti.

Hari ini baru lah saya ada masa untuk update blog saya. Sebagaimana yang kita tahu, sekarang ini adalah musim membeli peralatan dan barangan sekolah anak-anak. Tanggal beberapa hari saja lagi sekolah akan mula dibuka. Kalau dah hujung tahun seperti ini pasti perbelanjaan ibubapa lebih kepada perbelanjaan persekolahan anak-anak seperti baju sekolah, buku sekolah, beg sekolah, kasut sekolah dan sebagainya. Sekiranya ibubapa mempunyai bilangan anak ramai yang bersekolah, maka perbelanjaan untuk anak-anak sekolah akan menjadi lebih tinggi berbanding yang mempunyai bilangan anak yang sedikit. Oleh itu, setiap ibubapa haruslah bijak merancang perbelanjaan masing-masing.Dengan merancang perbelanjaan, baki duit yang ada masih boleh digunakan untuk perbelanjaan lain sehingga mendapat gaji akan datang.

Saya masih mempunyai dua orang anak-anak yang masih bersekolah di sekolah rendah. Anak saya yang pertama tahun depan akan melangkah ke tahun 3. Manakala anak yang kedua melangkah ke tahun 1. Perbelanjaan persekolahan anak saya yang darjah 1 adalah lebih tinggi berbanding darjah 3. Ini kerana anak saya yang tahun 1 itu perempuan dan barangan keperluan sekolahnya semuanya saya kena beli yang baru. Cuma alat tulis dan warna sudah tersedia ada. Maklumlah baru masuk sekolah tahun pertama. Kesemuanya harus disediakan dengan cukup.

Ini adalah  antara beberapa barangan persekolahan yang saya belikan untuk anak-anak saya. 

1) Pakaian Sekolah


Baju Sekolah Husna (Rm 13.90)


Baju Sekolah Asyraf (Rm12.17)


Kain Sekolah Husna (RM15.90)


Semua pakaian sekolah anak-anak saya ini saya beli di Pasaraya Longwan yang terletak di Sg Tiram, Bayan Lepas,Pulau Pinang. Kalau di Penang, Pasaraya Longwan adalah antara pasaraya yang termurah menjual pelbagai jenis barang tidak kira lah apa pun jenis barangan termasuk lah pakaian sekolah dan barang-barang persekolahan yang lain. Mungkin ada yang lebih suka memilih pakaian yang berkualiti , jenis kain yang bagus dan harga pun mahal. Namun, pada pendapat saya asalkan kain nampak elok dan selesa dipakai, saya akan membelinya walaupun harganya murah. Dengan itu sedikit sebanyak dapat menjimatkan perbelanjaan saya.

Di samping itu juga, saya juga ada membeli pakaian uniform KAFA 
(Kelas Fardu Ain) untuk kedua-dua anak saya. Tahun 2020 anak saya mula belajar kelas agama iaitu kelas Fardu Ain di sekolah mereka untuk sesi petang. 

2) Baju KAFA(Kelas Fardhu Ain)

Pakaian Kafa Lelaki ( RM24.90)



Pakaian Kafa Perempuan ( Rm 29.90)


Tudung Kafa ( Rm10.90)


Pakaian uniform KAFA saya beli di kedai Aswing iaitu sebuah kedai yang menjual barangan dan peralatan sekolah yang terletak berhampiran sekolah di Sungai Ara, Penang. Harganya untuk pakaian KAFA ini pada pendapat saya adalah sangat mahal. Harga untuk uniform KAFA perempuan adalah Rm 26.90. Manakala Uniform KAFA lelaki adalah RM 24.90. Tudung pula berharga Rm10.90 yang bersize SS. Harganya sangat berbeza dengan uniform sekolah yang saya beli di Pasaraya Longwan. Namun begitu, walaupun mahal sedikit tetapi kain nya tersangat lah elok, selesa,lembut tidak panas dan tidak jarang atau nipis. Anak-anak saya pun suka memakainya.

3) Kasut Sekolah


Kasut sekolah anak-anak juga saya beli di kedai Aswing. Saya memilih kasut sekolah jenis Pallas. Harganya tidaklah terlalu mahal kalau nak dibandingkan dengan kasut-kasut jenama lain. Harganya cuma RM25.00 sahaja untuk sepasang kasut. Jadi, saya hanya menghabiskan duit saya untuk kasut sekolah anak-anak hanya dengan harga RM50.00 sahaja untuk 2 pasang kasut.Murah tak  ??? Hehe..lain orang lain pandangan kan....Kasut Palas pun cantik dan tahan lama. Kasut jenis ini mendapat pilihan ramai daripada ibubapa. Terutama sekali untuk ibubapa yang ingin berjimat seperti saya.

 Sebelum ini saya sudah pun membeli sepasang uniform sekolah untuk Husna yang pertama di kedai Aswing. Harga sepasang pakaian sekolah ialah Rm18. Namun begitu, di kedai Aswing akan diberi potongan harga( diskaun 10%) untuk uniform sekolah. Oleh itu, ibubapa yang pergi ke sana boleh menjimatkan lagi perbelanjaan anda. Walaupun ada yang mahal, tetapi kainnya sangat elok dan selesa dipakai.Namun begitu, kalau anda ingin dapatkan harga yang lebih murah lagi bolehlah beli di Pasaraya Longwan, Mydin, Pasaraya Hari-Hari dan banyak lagi.

Apabila saya membuat pengiraan dengan perbelanjaan persekolahan anak-anak saya, saya telah menghabiskan sebanyak lebih kurang Rm600 untuk barang-barang sekolah anak-anak saya termasuk lah buku-buku sekolah dan pakaian sukan di sekolah.


Harga ini sangat berbeza dengan setiap individu. Ada juga ibubapa yang berbelanja lebih daripada saya ataupun kurang daripada saya. Kesemuanya adalah di atas kemampuan perbelanjaan masing-masing. Ini adalah antara beberapa jenis pakaian yang digunakan di sekolah anak-anak saya.Pakaian yang berwarna kuning dan hitam itu adalah pakaian sukan. Harga nya Rm35 sepasang. Kalau 3 pasang berapa lah agaknya ye. Oleh sebab itu lah, kesian kepada ibubapa yang mempunyai anak-anak yang ramai bersekolah tetapi kurang berkemampuan. Mereka terpaksa menyediakan keperluan anak-anak sekolah walau dengan apa cara sekalipun.

Tahun 2020 ini, saya tidak membeli seluar sekolah untuk anak lelaki saya kerana seluar yang lama masih boleh dipakai lagi. Beg sekolah pun masih boleh digunakan lagi. Tambahan pula, dahulu anak perempuan saya bersekolah di Pra-Sekolah. Jadi, cikgu ada memberi hadiah sebuah beg sekolah kepada semua pelajar pra-sekolah.Ini boleh menjimatkan perbelanjaan saya untuk tahun baru ini.

Saya hanya menyediakan 2 pasang sahaja baju uniform sekolah untuk anak-anak saya. Kalau sehelai rosak atau kotor, anak saya masih ada sehelai lagi pakaian sekolah untuk dipakai. Lagipun saya hanya bekerja dari rumah dan suri rumahtangga. Saya masih ada masa untuk membasuh baju anak-anak yang kotor. Berlainan pula bagi ibubapa yang bekerja di luar. Sudah pasti tidak ada masa untuk mencuci pakaian sekolah anak-anak yang kotor atau rosak. Oleh itu, mereka sanggup membeli 3 atau lebih helaian uniform sekolah anak-anak mereka.

Apa yang penting di sini ialah dari segi kemampuan ibubapa atau individu tersebut. Sekira anda mampu, anda boleh beli sebanyak mana yang anda ingin kan. kalau yang kurang berkemampuan seperti saya, lebih baik berjimat cermat. Kalau ada pakaian yang masih boleh dipakai, tidak perlulah kita membazir wang untuk membelinya. Kita hanya perlu membeli apa-apa barang yang perlu sahaja. Jangan mengajar anak-anak kita untuk mendapatkan sesuatu benda dengan mudah. Ajarlah anak-anak anda untuk berjimat cermat dan membeli barangan mengikut kemampuan kita sahaja.

Setakat di sini sahajalah perkongsian saya tentang perbelanjaan persekolahan anak-anak saya di tahun 2020 ini. Semoga perkongsian saya ini dapat memberi manfaat dan persediaan awal kepada ibubapa yang akan mencari pakaian sekolah anak dan barangan sekolah yang lain di masa akan datang.

Sampai kita berjumpa lagi ye. Bye....

Perbelanjaan Sekolah Anak- Anakku Tahun 2020

Assalamualaikum dan salam sejahtera.




Gambar Hiasan


Sejak akhir-akhir ini kita sering mendengar tentang penderaan kanak-kanak dan kematian anak-anak asuhan di rumah pengasuh. Kadang-kadang kita hairan kenapa semua ini terjadi kan.Kalau kita silap memilih pengasuh anak, ini lah yang akan terjadi. Kadang-kadang sikap ibubapa anak asuhan itu sendiri yang membuatkan seseorang pengasuh itu bertindak sedemikian. Hanya segelintir sahaja pengasuh yang bersikap kejam begini. Namun begitu, masih ramai lagi pengasuh yang berhati mulia dan tidak sanggup bertindak sedemikian rupa terhadap anak asuhan masing-masing.

Begitu juga dengan saya. Sebelum ini saya pernah menjadi seorang pengasuh.  Saya tidak pernah mengasari anak asuhan saya walaupun saya ada sedikit ketidakpuasan hati dengan ibubapanya. Saya akan berkongsi kan pengalaman saya menjadi seorang pengasuh sebelum ini. Terlebih dahulu, saya ingin memohon maaf sekiranya ada yang terguris hati membaca post saya ini. Saya hanya ingin berkongsi dengan anda semua apa yang pernah saya alami semenjak menjadi pengasuh beberapa tahun yang lepas.Mungkin pengalaman yang saya alami ini boleh membantu anda semua untuk bertindak dengan lebih baik.

Ramai ibu-ibu yang berkejaya terpaksa menghantar anak-anak kepada pengasuh sama ada di taska ataupun pengasuh di rumah. Seseorang ibu sudah tentu mengharapkan pengasuh yang baik untuk menjaga anak-anak mereka. Saya akan senaraikan beberapa perkara  yang tidak disukai oleh pengasuh sepanjang mengasuh anak anda. Ibubapa yang menghantar anak-anak kepada pengasuh perlu ambil tahu akan hal ini. Biasanya masalah ini adalah datangnya daripada pihak ibubapa itu sendiri. Walaupun mereka menganggap perkara-perkara ini sangat remeh-temeh, tetapi masalah ini amat berat ditanggung oleh pengasuh.Untuk memastikan pengasuh sayang dan menjaga anak anda dengan baik, anda sebagai ibu bapa  jangan sesekali melakukan sikap seperti yang saya senaraikan ini.

Antaranya :

1) Jangan langgar perjanjian asal antara Pengasuh dan Ibubapa

Ketika hari pertama berjumpa pengasuh, sudah pasti ibubapa dan pengasuh sudah berbincang bersama-sama.Pengasuh sudah tentu akan memberi beberapa syarat sekiranya ibu bapa itu inginkan khidmatnya. Contohnya tarikh pembayaran gaji pengasuh, ketetapan masa mengasuh daripada pukul berapa ke pukul berapa, atau ada cas tambahan ke tidak sekiranya lambat ambil anak dan sebagainya. Sekiranya anda tidak ikut seperti yang dijanjikan, akan membuatkan pengasuh itu tidak berpuas hati. 


2) Tidak memaklumkan kepada pengasuh untuk menghantar anak lebih awal.

Perkara ini sering kali terjadi kepada saya. Waktu mengasuh saya ialah pukul 12.30 tengahari seperti yang dijanjikan sebelum ini oleh ibubapa baby X. Oleh itu, sebelum waktu tersebut, saya boleh keluar dan membuat urusan lain. Banyak kali juga lah ketika saya berada di luar, ibu X mesej atau telefon saya 'last minute'. Dia memberitahu saya yang dia berada di hadapan rumah saya tetapi pintu berkunci.Saya yang berada di luar terpaksa bergegas pulang. Ini amat menyusahkan saya. Saya terpaksa menangguh kan urusan saya yang lain dan terpaksa pulang ke rumah. Saya akui mengasuh anak itu adalah tanggungjawab saya. Tetapi adalah lebih elok kalau memberitahu pengasuh lebih awal sehari sebelum atau pun beberapa jam sebelum datang ke rumah pengasuh. Pengasuh pun boleh membuat persiapan lebih awal.Mungkin dia akan keluar pada hari lain pada masa yang sesuai. Yang penting ibubapa kena maklumkan kepada pengasuh terlebih dahulu.


3) Melengah-lengahkan untuk memberi barang yang diminta oleh pengasuh.

Ketika saya menjadi pengasuh dulu, saya akan meminta ibubapa untuk sediakan barang mandian anak, susu, botol dan biskut. Pada hari pertama saya mengasuh, ibubapa tidak membekalkan barang mandian anak kepada saya seperti syampu, sabun mandian,ubat gigi, berus gigi, sikat rambut, bedak dan sebagainya. Hampir sebulan baru lah barang-barang ini diberikan kepada saya. Saya sangat sedih ada juga ibubapa yang tidak mementingkan kebersihan anak sendiri. Semua hal hendak diserahkan kepada pengasuh.

4) Menghantar anak tanpa tukar lampin/pampers terlebih dahulu

Hal ini banyak berlaku kepada pengasuh.Kadang-kadang hantar anak dengan tidak mandi dan pampers pun tidak bertukar.Pampers pun dah penuh dengan air kencing atau najis. Semua diserahkan kepada pengasuh untuk diuruskan.Saya pun pernah mengalami perkara yang sama. Bayangkan baby X dijemput pulang ke rumah pada 6.30ptg. Tetapi keesokan hari pukul 12.30tgh atau pukul 1 petang, baby X dihantar dengan memakai baju yang sama.Baju itulah yang saya pakaikan sebelum dia pulang. Tanpa disangka-sangka terdapat tompokan air kencing di seluarnya. Itu menandakan pampers baby X sudah penuh dan bocor.

Baby X sudah duduk merata di dalam rumah saya, di atas karpet di sofa.Terpaksa saya cuci semuanya. Apabila saya mesej memberitahu ibunya, jawapannya ialah  tadi pampers anaknya masih tidak penuh. Sudah berapa jam baby X tidak bertukar pampers. Sesibuk mana pun ibubapa jangan abaikan anak dan jaga lah kebersihan anak anda dengan baik. Jangan mengharapkan pengasuh saja untuk jaga kebersihan anak anda.

5) Mengharapkan anak yang masih kecil membuat sesuatu perkara dengan sendiri tanpa dipantau oleh ibubapa.

Saya masih ingat lagi.Ketika ini usia baby X sudah berusia 3 tahun tetapi dia masih memakai pampers. Kebiasaannya dia akan memakai pampers apabila datang ke rumah saya. Tetapi ada satu hari, saya ternampak seluarnya basah dan bau hancing. Rupa-rupanya dia kencing kat ruang tamu rumah saya.Apabila saya buka seluarnya rupa-rupanya dia tidak memakai pampers. Ibu dia pula tidak memaklumkan kepada saya yang anaknya tidak memakai pampers pada hari tersebut. Kalau lah saya tahu lebih awal, saya akan pakaikan pampers untuk baby X sebaik sahaja dia sampai di rumah saya. Saya sangat terkilan dan sedih. Baby X sudah ke sana ke mari  di ruang rumah saya. Sudah tentu air kencingnya sudah menitis di sana sini. Air kencing itu najis. Kalau tak dibersihkan tidak sah solat kalau terpijak kan. 

Apabila saya memberitahu ibu X, dia memberi jawapan anaknya mahu memakai sendiri baju dan seluarnya. Dia tidak menyangka yang anaknya itu tidak memakai pampers. Perkara ini sangat tidak elok. Ibubapa haruslah memberi perhatian kepada anak mereka.Jangan memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada anak. Tambahan pula dia masih kecil. 


6) Jangan lambat bayar gaji pengasuh

Saya telah membuat perjanjian bertulis dengan ibu X serta suaminya tentang tarikh pembayaran gaji. Pada mulanya okey. Tetapi lama-kelamaan gaji saya dibayar lambat daripada tarikh yang dijanjikan. Pengasuh juga mempunyai komitmen lain yang harus dibayar. Selain itu, pengasuh bekerja dan perlukan tarikh gaji yang tetap seperti majikannya. Saya terpaksa tebal kan muka untuk meminta gaji saya. Alasannya dia tidak ingat untuk membayar kepada saya. Memang selalu terjadi seperti ini. Alasannya dia terlupa. Oleh Kerana sikapnya yang selalu terlupa, saya menjadi susah hati setiap kali tarikh gaji. Walaupun sudah diminta, masih dilambat-lambatkan lagi.  Mana mungkin boleh bersikap acuh tidak acuh seperti itu. Pengasuh ini telah menjaga anak anda. Jadi anda kena lah bayar khidmat dia pada tarikh gaji yang telah dipersetujui bersama.


7) Adab menghantar anak ke rumah pengasuh

Biasanya ibu atau bapa akan turun daripada kenderaan masing-masing terlebih dahulu. Kemudian akan memberi salam kepada tuan rumah untuk menghantar anak. Pada permulaannya ibubapa baby X ada buat begini apabila datang ke rumah saya. Mungkin saya baru mengasuh anaknya ketika itu. Semuanya baik-baik sahaja. Lama kelamaan saya nampak anaknya turun seorang diri daripada kereta dan masuk ke rumah saya tanpa diiringi oleh ahli keluarganya. Pintu rumah saya memang sentiasa terbuka. Ibubapanya hanya memerhati daripada dalam kereta. Kadang-kala saya terkejut baby X berada di dalam rumah saya tanpa saya sedari. 

Begitu juga ketika waktu mahu mengambil baby X pulang, ibu atau bapa baby X akan bunyikan hon kenderaan menandakan mereka sudah sampai di kawasan rumah saya. Saya mengiringi baby X untuk keluar menuju ke kereta ibubapanya.  Tetapi ibu  X  dengan suaminya berada di dalam kereta yang bercermin gelap.Mereka tidak pula menurunkan cermin gelap itu untuk menyapa saya. Kadang-kadang sedih juga diperlakukan seperti itu. Adab dengan pengasuh amat perlu dijaga.

8) Mengambil anak lambat tanpa alasan.

Walaupun lambat mengambil anak, saya tidak pernah kenakan cas tambahan kepada ibubapa anak asuhan saya. Ini kerana saya masih bertolak ansur dengan ibubapa baby X. Tetapi ibubapa kena lah sedar, jam 7 malam dan ke atas dikira sudah lewat. Pengasuh  juga perlukan masa itu untuk memberi perhatian dan tumpuan kepada suami dan anak-anak di rumah. Janganlah diberi beban kepada pengasuh kerana sudah seharian pengasuh menjaga anak anda. Kalau lambat datang, sila lah beritahu lebih awal kepada pengasuh. Tidaklah pengasuh tertunggu-tunggu kehadiran anda.


9) Jangan mengambil kesempatan ke atas pengasuh yang baik.

Ibubapa baby X  telah datang ke rumah saya untuk berjumpa buat kali terakhir kerana saya tidak lagi mengasuh anak nya. Setelah saling meminta maaf dan memberi sedikit hadiah, saya pun okey dan mereka pun pulang dengan hati yang senang. Selang beberapa hari kemudian, saya mendapat mesej daripada ibu X. Dia ingin meninggalkan baby X kepada saya sebentar kerana ada urusan perniagaan di luar. Ketika itu saya juga ingin keluar bersama-sama keluarga saya. 

Saya beranggapan masa saya tidak lagi diganggu oleh sesiapa kerana saya bukan lagi seorang pengasuh. Rupa-rupanya masih ada lagi yang mengganggu ketenangan saya hehe.  Saya terpaksa membalas mesej memberitahu ibu X yang saya tidak lagi mengasuh baby X. Jadi, dia tidak boleh lagi dihantar ke rumah saya walaupun sekejap. Kadang-kadang kita perlu bertegas dalam perkara seperti ini agar tidak ada sesiapa berani mengambil kesempatan ke atas kebaikan kita.

Berdasarkan huraian saya di atas, ini adalah antara beberapa perkara yang tidak disukai oleh pengasuh. Seandainya anda mendapat pengasuh yang berdendam dan tidak berpuas hati sudah pasti anak anda yang menjadi mangsa kemarahan mereka. Kalau anda sayangkan anak anda, berbuat baiklah kepada pengasuh anak anda. Oleh itu, untuk memastikan pengasuh menjaga anak-anak anda dengan baik, anda kena lah mengambil hati pengasuh dan memudahkan kerja mereka. Kerjasama dan bertolak ansur antara ibubapa dan pengasuh akan memberi impak positif kepada anak-anak asuhan. Perkara ini amatlah dititik beratkan kepada kedua-dua belah pihak.

Hanya segelintir sahaja ibubapa anak asuhan yang memberi masalah kepada pengasuh. Kadang-kala ada juga masalah berpunca daripada pengasuh itu sendiri. Semoga kita menjadi seorang ibubapa dan pengasuh yang baik kepada anak-anak yang telah diamanahkan oleh Allah S.W.T ini.

Setakat di sini sahajalah post saya tentang tips agar anak kita disayangi oleh pengasuh. Kalau ada tersilap tulis, terkasar bahasa ataupun terguris hati harap dimaafkan. Yang buruk itu datang daripada saya. Yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T


Semoga jumpa lagi,

Bye....


TIPS MENJAGA HATI PENGASUH AGAR ANAK KITA DISAYANGI

Assalamualaikum..salam sejahtera kepada semua pembaca budiman. Harap-harap semuanya sihat-sihat selalu. Terima kasih kerana singgah di blog Jalieyza Husna  ini ye. Post untuk kali ini adalah saya ingin kongsikan dengan pembaca budiman semua tentang resepi Apam Polkadot yang cantik, sedap dan lembut.Kalau kita tengok ada pelbagai rupa corak apam polkadot ni kan. Ada yang dilukis bentuk dot.dot, ladyburg, angry bird,emoji,bentuk strawberi dan sebagainya. Intinya pula ada macam-macam jenis  ada  inti strawberry, coklat,kaya, blueberry dan banyak lagi. Apam polkadot akan jadi lebih sedap kalau mengikut cara membuatnya dengan betul.

Tanpa membuat masa, marilah kita tengok bahan-bahan dan cara-cara membuatnya. Jikalau salah teknik, apam polkadot tidak akan menjadi. Mungkin menjadi keras dan corak lukisan apam polkadot tidak akan terbentuk cantik.



Apam Polkadot bercorak strawberi & ladybug

Apam Polkadot Angry bird & Strawberi



BAHAN-BAHAN

1) 2 1/2 cawan tepung gandum
2) 3 sudu teh baking powder
3) 1 cawan susu cair
4) 3 biji telur gred A/B
5) 1 cawan gula kastor( saya guna gula pasir)
6) 1 sudu besar ovalette
7) 1 sudu teh esen vanila
8) Filling ( bluberi, strawberi, nutella, coklat
9) Pewarna



CARA-CARA MEMBUATNYA

1) Ayak tepung gandum & baking powder bersama. Ketepikan.

2) Pukul telur, gula, esen vanila & ovalette sehingga betul-betul kembang dan gebu. Guna mixer dengan kelajuan yang tinggi.

3) Kemudian, masukkan tepung dan susu cair sedikit demi sedikit secara selang-seli ( guna kaedah kaup balik menggunakan spatula).

4) Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian & letakkan warna

5) Masukkan adunan ke dalam paper cup kecil dengan mengunakan piping bagi papercup kecil. Kalau saya punya, saya pakai sudu je lagi cepat.Masukkan separuh dulu. Kemudian, letak inti ( bluberi, coklat, kaya dan sebagainya) dan tutup semula dengan adunan sehingga hampir penuh.

6) Papercup hendaklah di letakkan dalam bekas acuan lompang baru apam berbentuk bulat dan cantik.

7) Buat dot-dot atau apa corak sekali pun seperti angry bird, strawbery,ladybug dan sebagainya. Guna kreativiti anda sendiri.

8 Kukus selama 10-15minit dengan api sederhana.Tudung  pengukus mestilah dibalut dengan kain agar air wap tidak jatuh ke atas apam ketika sedang mengukus.




Apam akan terbentuk dengan cantik kalau letak dalam acuan lompang ye seperti dalam gambar.


Haa...kalau dah pandai nak buat apam polkadot ini, anda  boleh menerima tempahan daripada orang ramai. Secara tidak langsung anda boleh menjana pendapatan dengan menjual apam polkadot. Pasti ramai yang nak beli atau tempah sebab rupanya cantik dan rasanya sedap.


Tambahan pula, kuih apam polkadot memang sesuai untuk apa-apa majlis terutama kanak-kanak.Untuk menarik minat kanak-kanak, anda buatlah corak yang kanak-kanak suka. Contohnya apam polkadot angry bird, ladybug dan gambar kartun-kartun yang comel mengikut kreativiti anda sendiri.




Alhamdulillah, sejak saya belajar membuat apam polkadot ini, banyak tempahan yang saya terima terutama sekali daripada guru-guru sekolah dan pekerja-pekerja 'office'.



Akhir kata, selamat mencuba kepada semua yang berminat untuk belajar membuat apam polkadot. Sememangnya hendak membuatnya sangat senang tetapi adakalanya ia tidak menjadi. Jangan terus berputus asa. Sekali tidak menjadi, tidak mengapa...anda cuba lagi.Saya dulu pun macam tu juga. Lama-lama kelamaan okey dan anda akan menjadi semakin mahir..


Semoga berjumpa lagi...

Bye.....☺✋✋





















Resepi Apam Polkadot Sedap dan Lembut Sukatan Cawan